
Berehat dalam Dunia yang Penuh Gelisah
Ringkasan
Tekanan dan kerja yang berlebihan membawa ramai orang ke kubur sebelum tiba masa mereka. Tetapi pada hari penciptaan, Tuhan telah mencipta penawar untuk masalah tekanan: hari untuk berehat. Hari yang suci ini telah dirancang sebagai suatu berkat agar manusia dapat berehat dari pekerjaan mereka dan meluangkan masa bersama Tuhan. Malangnya, walaupun Tuhan memerintahkan manusia untuk mengingatinya, kebanyakan mereka telah melupakan hari istimewa ini, malah ramai yang melupakan Pencipta yang telah memberikan hari itu kepada mereka.
Jenis
Tract
Penerbit
Sharing Hope Publications
Tersedia dalam
21 Bahasa
Muka Surat
6
Mita Duran telah meninggal dunia. Penulis iklan warga Indonesia yang baru berumur 24 tahun, masih bertenaga, jatuh rebah begitu sahaja di mejanya. Apa yang telah terjadi?
Mita bekerja di sebuah agensi pengiklanan, di mana jangkaan pekerjaan adalah tinggi dan beban pekerjaan adalah berat. Sebelum kematiannya, dia menulis mengenai kepenatannya di media sosial: “Malam ini, saya memegang kunci ke pejabat untuk hari kelapan secara berturut-turut.... Saya tidak mempunyai kehidupan.”
Dia sangat bergantung pada minuman berkafein yang bernama Krating Daeng, Red Bull versi Asia. Komen terakhirnya dalam media sosial berkata, “30 jam bekerja dan masih dalam keadaan yang kuaaat.” Kemudiannya, dia jatuh rebah di atas mejanya dan tidak bangun lagi.
Apakah yang telah terjadi? Mita meninggal dunia kerana terlalu bekerja.
Masa kini, ramai diantara kita mempunyai jadual yang terlalu sibuk. Masyarakat menggesa kita untuk bekerja lebih keras, berpendapatan lebih tinggi, dan membeli belah lebih banyak. Kita menderita kerana kerisauan, insomnia, dan tekanan mental.
Kita mungkin tidak menamatkan nyawa kita seperti Mita Duran, tetapi kehidupan boleh menjadi beban yang berat. Adakah ini yang Tuhan inginkan untuk kita? Dia adalah Pemberi Damai. Apabila kita terlalu bekerja, adakah kita merasakan kedamaian? Sudah tentu tidak!
Jika kita dibenam dengan kelelahan, mungkin kita terlupa sesuatu yang Tuhan ingin kita ingatkan. Marilah kita menerokai apa yang Dia katakan mengenai rehat.
Menekan Butang “Berhenti”
Tuhan itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Dia mengetahui bahawa manusia memerlukan masa untuk memulih semula tenaga fizikal, mental, dan rohani mereka, sama seperti telefon bimbit dan komputer riba. Oleh itu, nabi Musa mencatatkan hukum Tuhan:
Ingatlah hari Sabat dan jagalah kesuciannya. Enam hari lamanya engkau harus bekerja dan melakukan segala pekerjaanmu, tetapi hari ketujuh ialah hari Sabat bagi TUHAN, Allahmu. Pada hari itu jangan melakukan pekerjaan apa-apa pun (dari bahagian pertama dalam Alkitab, juga dikenali sebagai Taurat: Keluaran 20:8-10).
Hukum Tuhan yang tidak berubah ini memberitahu kita untuk mengingati hari ketujuh. Menurut beberapa bahasa di dunia, hari ketujuh yang didedikasikan untuk berehat ini dipanggil sebagai “Sabat”. Mengapakah Tuhan memerintahkan kita untuk mengingatinya? Kerana dia mengetahui bahawa sifat pelupa telah menjadi satu masalah yang berterusan dengan umat manusia, bermula dengan Adam. Kita tidak seharusnya melupakan hukum-hukum Tuhan, kerana hanya dengan mengingati dia dan hukum-hukumnya barulah kita akan tetap berjalan di jalan yang lurus.
Tetapi mengapakah Sabat itu istimewa? Tuhan memberitahu kita,
Kerana enam hari lamanya TUHAN menjadikan langit dan bumi, laut dan segala isinya, lalu Dia beristirahat pada hari ketujuh. Itulah sebabnya TUHAN memberkati hari Sabat dan menjadikannya suci (Keluaran 20:11).
Hari Sabat adalah satu peringatan penting bahawa Tuhan adalah Pencipta. Beberapa orang membantah bahawa memandangkan Tuhan tidak akan pernah penat, maka dia tidak perlu berehat pada hari ketujuh. Tetapi Tuhan tidak berehat kerana kepenatan; dia menghentikan pekerjaannya yang kreatif agar dia dapat mengadakan satu masa yang suci untuk kita berehat.
Tuhan melihat bahawa satu hari perhentian adalah baik untuk umat manusia. Dia menjadikan hari ketujuh sebagai Hari Sabat, yang bermaksud masa berehat atau perhentian. Oleh itu, hari ketujuh dalam setiap minggu adalah hari yang istimewa untuk menekan butang “berhenti”. Kita harus berehat dari pekerjaan dan aktiviti-aktiviti duniawi sepanjang hari untuk mengingati dan menyembah Tuhan.
Bukankah indah jika majikan atau profesor anda memerintahkan anda untuk berehat lebih banyak? Inilah yang diperintahkan oleh Tuhan! Puji kepada Tuhan! Dia sememangnya penyayang!
Memelihara Kesucian Hari Tuhan
Hari Sabat adalah hari suci yang universal untuk semua orang di dunia. Ia telah dipelihara oleh penganut monoteis bagi Tuhan pencipta yang benar, jauh sebelum penganut Yahudi, Kristian, Muslim, Buddha, atau Hindu wujud. Malah, ia diberikan kepada semua manusia ketika dunia dicipta. Adam dan Hawa memelihara Hari Sabat, dan Tuhan tidak pernah memberi kita kebenaran untuk melupakan apa yang dia telah beritahukan kita untuk ingat.
Malangnya, Hari Sabat seringkali dilupakan. Nabi-nabi memberikan amaran kepada orang Yahudi pada zaman dahulu bahawa Tuhan akan membawakan kemusnahan ke atas mereka jika mereka melupakan Hari Sabat. Mereka tidak mengendahkan amaran itu, maka Yerusalem dimusnahkan, dan keluarga mereka dibawa ke dalam tawanan. Orang-orang Kristian juga melupakan Hari Sabat dengan mengubah hari suci ini kepada Hari Ahad, bertentangan dengan hukum Tuhan. Umat Islam sembahyang pada Hari Jumaat tetapi telah lupa bahawa kita harus berehat pada hari ketujuh untuk hidup dalam ketaatan sepenuhnya kepada Pencipta.
Mengapa seolah-olahnya seluruh dunia sedang melupakan hari yang penting ini? Adakah terdapat punca yang lebih jahat atas kelupaan yang meluas ini?
Yesus Mesias (juga dipanggil sebagai Isa al-Masih), memberi amaran kepada kita tentang satu kuasa dunia yang akan datang di mana Syaitan akan gunakan untuk memalingkan minda kita dari Pencipta kita. Berjuta-juta orang akan tertipu untuk beribadah pada hari sabat yang palsu. Jika Syaitan boleh membuatkan kita untuk melupakan hari Pencipta, dia berharap kita akan melupakan Pencipta itu sendiri. Namun, apabila kita memelihara Hari Sabat yang benar, kita menunjukkan ketaatan kita kepada Pencipta kita dan menikmati anugerah rehat, ketenangan, dan kedamaian.
Memasuki Rehat Tuhan
Nabi Musa menulis bahawa “Allah memberkati hari ketujuh itu” (Kejadian 2:3). Adakah anda penat dan lelah? Terdapat berkat dalam hari Sabat!
Mita Duran, penulis iklan dari Indonesia, mati kerana terlalu bekerja—tetapi anda tidak perlu mengalami sedemikian. Tuhan menjemput anda untuk berehat dari pekerjaan anda setiap minggu dan mengalami berkat Hari Sabat.
Jika anda ingin mempelajari lebih banyak mengenai bagaimana Tuhan memberikan kita rehat, kedamaian, dan kesembuhan, sila hubungi kami melalui maklumat yang terdapat di belakang kertas ini.
Copyright © 2023 by Sharing Hope Publications. Tulisan boleh dicetak dan dikongsikan untuk tujuan bukan komersial tanpa kebenaran.Ayat Alkitab diambil dari Alkitab Berita Baik®. Hak Cipta © 1996 oleh The Bible Society of Malaysia. Digunakan dengan kebenaran. Hak cipta terpelihara.
Daftar untuk surat berita kami
Jadilah orang pertama yang mengetahui apabila penerbitan baru tersedia!

Penerbitan Pilihan Kami
© 2024 Sharing Hope Publications