Memahami Penderitaan

Memahami Penderitaan

Ringkasan

Ramai orang pada hari ini mengalami perlakuan buruk dan penderaan. Yesus juga hidup di dalam penderitaan. Dia membantu orang lain, menyembuhkan mereka, dan mengajar mereka cara yang lebih baik untuk hidup. Beberapa orang membenci Dia dan membunuh Dia, tetapi selepas tiga hari, Dia hidup semula dan kembali kepada Bapa-Nya di syurga. Risalah ini menawarkan cerita ringkas mengenai kehidupan dan penderitaan Yesus, serta janji-Nya untuk menyembuhkan hati kita yang patah.

Muat Turun

“Perempuan lagi!” lelaki itu meluat. Dia dan isterinya sudah mempunyai dua anak perempuan. “Kita perlukan seorang anak lelaki, bukan seorang anak perempuan lagi!” Dia menghantar bayi perempuan itu, Chailai, kepada sepupunya. Tetapi kehidupan di dalam rumah mereka merupakan mimpi ngeri untuk Chailai. “Kamu terlalu bodoh untuk pergi ke sekolah,” teriak ibu bapa angkatnya. Sebaliknya, mereka membuatkan dia bekerja seperti seorang hamba. Seringkali didera dan dianiaya, Chailai menderita di bawah awan keaiban dan kemarahan. Seolah-olah tiada seorang pun yang menyayangi dia.

Pernahkah anda mendengar cerita seperti kisah Chailai? Mungkin anda pernah dianiayai dan disakiti dengan teruk sekali.

Apabila kesakitan yang dirasakan tidak dapat ditanggung, kita cuba untuk melarikan diri. Tetapi seringkali ia akan menyebabkan lebih banyak kemudaratan kepada diri sendiri dan orang lain. Kadangkala kita mungkin berfikir bahawa sesuatu yang buruk pada masa lalu sedang menyebabkan kita menderita sekarang. Namun, tidak ada ketenangan dalam fikiran sebegitu. Ia cuma menambahkan lebih banyak ketakutan dan kekecewaan. Adakah sebarang harapan agar kesakitan dan kecelakaan kita ini berakhir?

Jutaan orang—termasuklah Chailai—telah menemui pengharapan di dalam simpati dan kasih sejati yang datang daripada Yesus. 

Siapakah Yesus?

Yesus, Guru zaman dahulu ini, lahir dalam sebuah keluarga yang sangat miskin. Tidak lama selepas kelahiran-Nya, keluarga itu melarikan diri daripada seorang raja yang kejam dan hidup seperti pelarian di Mesir. Apabila raja jahat itu mati, mereka kembali ke Israel dan menetap di Nazaret, sebuah kota yang mempunyai reputasi yang buruk. Ia kedengaran seperti satu permulaan yang tidak baik untuk seorang Guru yang Agung.

Nama Yesus bermaksud “Tuhan menyelamatkan.” Tujuh ratus tahun sebelum kelahiran Yesus, ia telah diramalkan bahawa seorang penyelamat akan datang ke dunia dan menderita seperti manusia yang Dia datang untuk selamatkan. Misi-Nya adalah untuk menolong mereka yang dalam kesedihan dan mengakhiri penderitaan serta kematian. 

Persahabatan Sejati Yesus

Buku suci Kristian iaitu Alkitab, menceritakan banyak kisah bagaimana Yesus datang dekat kepada orang-orang yang menderita.

Pada satu hari, seorang lelaki dengan penyakit kulit yang serius datang ke tempat di mana Yesus sedang mengajar. Badannya dipenuhi dengan kudis, dan bau badannya sangat busuk. Dia dipenuhi dengan rasa malu dan putus asa kerana orang ramai pada waktu itu percaya bahawa penyakitnya pasti merupakan hukuman atas kesalahan-kesalahannya. Tetapi Yesus melangkah dekat kepadanya dan menyentuhnya. Dengan serta merta, dia disembuhkan! 

Pada masa yang lain, Yesus bertemu dengan dua orang lelaki yang dirasuk syaitan yang tinggal di antara makam-makam, berteriak-teriak dan melukakan diri mereka sendiri dengan batu. Ketika mereka melihat Yesus, roh-roh jahat itu memberitahu Dia untuk pergi. Tetapi Yesus memerintahkan roh-roh itu untuk pergi. Roh-roh itu patuh dan kedua-dua lelaki itu serta merta memperolehi kembali kewarasan mereka.

Pada satu masa lagi, Yesus bertemu dengan seorang wanita yang dihindari oleh orang-orang di tempatnya kerana dia telah berkahwin sebanyak lima kali. Dia terkejut apabila Yesus bercakap dengan ramah kepadanya. Dia begitu gembira sehingga dia membawa semua orang untuk melihat Guru Agung yang telah memberikannya pengharapan. 

Seorang Sahabat yang Menderita

Anda akan berfikir bahawa seorang penyembuh yang berkuasa dan guru yang baik akan dikasihi oleh semua orang. Dan sememangnya, Dia dikasihi oleh orang ramai. Namun, guru-guru agama menjadi cemburu terhadap populariti Yesus dan merancangkan cara untuk memusnahkan Dia.

Yesus memberitahu murid-murid-Nya bahawa Dia akan diberikan tuduhan palsu dan dibunuh. Dia menjelaskan bahawa ia adalah rancangan Tuhan untuk Dia mengalami penderitaan manusia dan mengubah hati orang ramai. Dia meramalkan bahawa Dia akan hidup kembali pada hari ketiga. Tetapi murid-murid-Nya tidak dapat menerima bahawa guru yang mereka kasihi akan menderita dengan begitu dahsyat sekali. Oleh itu, mereka berazam untuk mempertahankan-Nya. 

Malangnya, ia terjadi seperti yang Yesus katakan. Seorang murid yang tamak mengkhianati Yesus untuk mendapatkan wang dengan membantu sekumpulan orang untuk menangkap Dia pada tengah malam. Murid-murid yang lain melarikan diri dalam ketakutan. Saksi-saksi palsu menuduh Yesus merancang untuk menggulingkan kerajaan. Yesus disabitkan kesalahan, dipukul dengan kejam dan dipakukan pada kayu salib di mana Dia mati dalam kesakitan yang perit. 

Pengharapan dalam Penderitaan Kita

Ibu Yesus dan para pengikut-Nya menangis semasa mereka meletakkan mayat-Nya ke dalam makam. Askar-askar memeteraikan makam itu dan menempatkan pengawal-pengawal di luar makam-Nya. Tetapi pada hari ketiga, satu gempa bumi yang kuat membuka makam itu dan Yesus bangkit semula. 

Apabila Yesus muncul di hadapan murid-murid-Nya, mereka tidak percaya dengan apa yang mereka lihat! Dia memaafkan mereka kerana melarikan diri ketika Dia sangat memerlukan mereka. Dia meluangkan masa mengajar Alkitab dengan mereka, menunjukkan mereka rancangan-Nya yang terakhir untuk mengakhiri penderitaan dan kematian. Dia memerintahkan mereka untuk memberitahukan setiap orang agar bersedia untuk kepulangan-Nya apabila Dia akan menyelesaikan misi-Nya untuk menyelamatkan manusia. Lalu, Yesus kembali ke syurga. 

Seorang Sahabat yang Mengalami Penderitaan Saya

Chailai, gadis yang membesar tanpa diingini, kemudiannya mempelajari tentang Yesus daripada orang-orang baik yang bekerja di kem pelarian tempat di mana dia melarikan diri semasa peperangan. Dia mendengar cerita-cerita daripada Alkitab dan mempelajari tentang rancangan Tuhan untuk mengakhiri penderitaan dan kematian. Chailai tahu Tuhan boleh menolong dia untuk membebaskan dia daripada keaiban dan penderitaan sehingga dia meminta Dia untuk menyembuhkan hatinya. Tuhan menggantikan kebencian dan pengalaman pahitnya dengan pengampunan dan belas kasihan. Hari ini, dia memberitahu orang ramai bagaimana Tuhan mengubah dia dan memanggil dia sebagai anak perempuan-Nya. 

Bagaimana dengan anda? Adakah anda juga ingin bertemu dengan Yesus? Anda boleh bercakap dengan Tuhan seperti ini: 

Ya Tuhan, terima kasih kerana memahami kesakitan yang telah saya lalui (jelaskan kesukaran anda di sini). Terima kasih kerana menghantar Yesus untuk menyelamatkan saya daripada penderitaan. Tolong sembuhkan hati saya dan berikan saya roh yang tenang dan mengampuni. Amin.

Jika anda ingin belajar lebih banyak mengenai Yesus dan bagaimana Dia boleh membantu kita pada waktu penderitaan, sila hubungi kami melalui maklumat yang tertera pada belakang kertas ini.

Copyright © 2023 by Sharing Hope Publications. Tulisan boleh dicetak dan dikongsikan untuk tujuan bukan komersial tanpa kebenaran.

Daftar untuk surat berita kami

Jadilah orang pertama yang mengetahui apabila penerbitan baru tersedia!

newsletter-cover