Keselamatan daripada Roh Jahat

Keselamatan daripada Roh Jahat

Ringkasan

Roh jahat adalah sangat berkuasa, tetapi tidak berkuasa seperti Isa al-Masih. Risalah ini menerangkan bagaimana Isa mengusir keluar roh jahat dari orang-orang yang menderita dan membantu mereka menemukan penyembuhan. Dia boleh melakukan perkara yang sama untuk kita pada hari ini. Buku-Nya mengajar kita segala sesuatu yang perlu kita ketahui untuk bebas daripada gangguan dan penindasan roh jahat. Ia juga mengajar kita bagaimana kita boleh mengelak daripada ditipu oleh penyamaran roh jahat sebelum Dia kembali.

Muat Turun

Jin ada di mana-mana. Sama ada anda memanggil mereka roh, hantu, syaitan, atau jin, mereka menakutkan. Bomoh-bomoh, ahli-ahli sihir, dan tangkal-tangkal adalah popular, tetapi bolehkah mereka benar-benar melindungi kita?

Saya ingin berkongsi dengan anda tiga langkah mudah untuk mencari perlindungan daripada roh-roh jahat agar anda tidak perlu takut. 

Perlindungan daripada Roh Jahat

Lelaki itu telanjang dan sedang berteriak. Dia dirasuk oleh banyak jin, dan tiada siapa yang boleh menolongnya. Orang-orang di kampung itu telah cuba untuk mengikatnya dengan rantai, tetapi dia memutuskannya dengan kekuatan yang luar biasa dan melarikan diri untuk tinggal di kawasan perkuburan. Dia menghabiskan hari-harinya menangis dengan kesedihan dan melukai dirinya dengan batu.

Sehinggalah kedatangan seorang yang bernama Yesus Kristus, yang juga dikenali sebagai Isa al-Masih.

Lelaki itu sangat menderita sehingga apabila dia membuka mulutnya untuk meminta pertolongan, jin-jin itu menjerit kepada Yesus Kristus supaya meninggalkannya sendirian. Tetapi Yesus tidak pergi. Dia tahu apa yang sedang berlaku. Tanpa rasa takut, dia menyuruh jin-jin itu meninggalkan lelaki itu.

“Jangan menghalau kami ke jurang maut!” jin-jin itu merayu. Mereka meminta untuk masuk ke dalam kawanan babi yang berdekatan. Yesus memerintahkan mereka untuk meninggalkan lelaki itu dan masuk ke dalam kawanan binatang haram itu. Dengan serta-merta, kewarasan lelaki itu kembali, dan seluruh kawanan babi itu lari dari tebing ke dalam laut.

Akhirnya, lelaki itu dibebaskan. Dia amat bersyukur! Tetapi ini bukanlah satu-satunya cerita itu. Yesus Kristus mempunyai kuasa yang besar ke atas roh-roh jahat. Di mana sahaja dia pergi, dia menyelamatkan orang-orang yang dirasuki oleh jin. Dia juga memberikan kuasa kepada pengikut-pengikutnya ke atas syaitan:

Aku telah memberimu kuasa... atas segala kekuatan musuh. Tiada apa-apa yang dapat mencederakan kamu. Tetapi jangan kamu bersukacita kerana segala roh iblis menurut perintahmu tetapi bersukacitalah kerana namamu tercatat di syurga (kitab Injil, Lukas 10:19, 20).

Apabila kita mengikuti Yesus Kristus, kita boleh mendapat perlindungan dalam kehidupan ini dan jaminan untuk kehidupan yang akan datang! Marilah kita lihat tiga langkah untuk mencari kebebasan daripada roh jahat.

Langkah 1: Tuntut Kuasa Nama Yesus Kristus

Langkah pertama adalah untuk meminta perlindungan Tuhan dalam nama Yesus Kristus. Dengan diri kita sendiri, kita tidak berdaya. Tetapi apabila kita menuntut nama Yesus Kristus atas kehidupan kita, roh-roh jahat itu menjadi tidak berkuasa! Yesus berkata tentang pengikut-pengikutnya: “Dengan nama-Ku mereka akan menghalau roh-roh iblis” (kitab Injil, Markus 16:17).

Jika anda percaya dengan sepenuh hati bahawa Yesus Kristus akan membebaskan anda, dia akan melakukannya! Doakan sahaja permintaan ini kepada Tuhan, “Tuhan, tolong selamatkan saya daripada roh-roh jahat dalam nama Yesus Kristus, yang engkau telah utus!” 

Langkah 2: Dapatkan Penyucian Dalaman dan Luaran

Yesus Kristus mengajar bahawa kita tidak seharusnya memberikan peluang kepada syaitan. Dia berkata, “Pemerintah dunia ini datang... tidak berkuasa atas diri-Ku.” (kitab Injil, Yohanes 14:30). Kita juga harus meyucikan kehidupan kita daripada segala pengaruh-pengaruh jahat. 

Apakah yang dimaksudkan bahawa syaitan “tidak berkuasa atas diri kita”? Ia bermaksud dia tidak mempunyai perkara di dalam hati atau rumah kita yang menjadi miliknya. Kita harus menyingkirkan tangkal-tangkal dan azimat-azimat yang khurafat. Kita harus mengelakkan daripada perkara-perkara maksiat yang berdosa seperti pornografi, dadah, dan alkohol. Jika kita pernah terlibat dengan upacara berhubung dengan orang mati atau melemparkan sumpahan, kita harus segera menghentikan aktiviti-aktiviti ini. Dengan itu, kita menyucikan persekitaran luar kita daripada pengaruh-pengaruh syaitan. Kemudian, kita harus berdoa kepada Tuhan untuk mengampuni kita dan menyucikan dalaman kita.

Langkah 3: Penuhi Kehidupan Anda dengan Terang

Setelah Yesus Kristus telah menyelamatkan anda daripada kuasa jin, jemputlah dia untuk membimbing kehidupan anda. Jangan biarkan hati anda kosong. Yesus Kristus berkata,

Apabila roh jahat keluar daripada seseorang, roh itu akan menjelajahi kawasan yang tandus untuk mencari tempat berehat. Sekiranya tempat itu tidak ditemukannya, roh itu akan berkata, “Aku akan pulang ke rumah yang telah kutinggalkan.”Roh itu pun pulang dan mendapati rumah itu kosong, bersih dan kemas. Roh itu lalu pergi memanggil tujuh roh lain yang lebih durjana daripadanya. Semuanya memasuki tubuh orang itu dan menetap di situ. Akhirnya keadaan orang itu lebih teruk daripada dahulu (kitab Injil, Matius 12:43–45).

Apabila anda telah disucikan daripada jin, penuhilah kehidupan anda dengan terang Alkitab, buku Yesus. Yesus Kristus “datang ke dunia ini sebagai cahaya, supaya manusia yang percaya kepada [dia] tidak akan terus tinggal dalam kegelapan” (kitab Injil, Yohanes 12:46). Dapatkanlah salinan buku Yesus dan bacalah setiap hari agar terangnya akan menutupi kegelapan.

Keselamatan untuk Masa Hadapan

Kita hidup pada akhir zaman ini di mana roh-roh jahat lebih aktif berbanding sebelumnya. Yesus Kristus meramalkan bahawa sebelum dia kembali, kuasa-kuasa jahat akan melakukan banyak mukjizat palsu untuk cuba menipu orang-orang beriman. Bagi beberapa orang, jin akan muncul dalam bentuk yang menakutkan seperti hantu; bagi yang lain, mereka akan muncul sebagai malaikat atau saudara mara yang sudah meninggal dunia. Bahkan, Syaitan sendiri akan menyamar sebagai Yesus Kristus!

Tetapi anda tidak perlu tertipu dengan pembohongan-pembohongan itu. Jika anda mengikuti Yesus Kristus, dia akan memberikan anda kuasa untuk menentang syaitan. Sahabatku yang dikasihi, apa sahaja perjuangan anda pada hari ini, biarlah Yesus Kristus membebaskan anda!

Jika anda menginginkan seorang pengikut Yesus Kristus untuk berdoa bagi pembebasan anda daripada roh-roh jahat, sila hubungi kami melalui maklumat di belakang kertas ini.

Copyright © 2023 by Sharing Hope Publications. Tulisan boleh dicetak dan dikongsikan untuk tujuan bukan komersial tanpa kebenaran.
Ayat Alkitab diambil dari Alkitab Berita Baik®. Hak Cipta © 1996 oleh The Bible Society of Malaysia. Digunakan dengan kebenaran. Hak cipta terpelihara.

Daftar untuk surat berita kami

Jadilah orang pertama yang mengetahui apabila penerbitan baru tersedia!

newsletter-cover