Jemputan Berhijrah

Jemputan Berhijrah

Ringkasan

Adakah anda merindukan tempat yang lebih baik? Tempat yang selamat, bahagia dan tenang? Kita merindukan sesuatu yang tidak dapat disediakan oleh dunia ini kerana setiap satu kita diciptakan untuk Firdaus. Isa al-Masih telah pun pergi ke sana. Dia mengetahui jalannya, dan sebenarnya, Dia menyebut diri-Nya sebagai "jalan!" Risalah ini menerangkan kebenaran penting tentang Isa yang membantu kita bersiap sedia untuk menjadi warga kerajaan Firdaus.

Muat Turun

Abdul-Malek adalah seorang lelaki tua yang kepenatan. Setelah kehilangan isteri dan anak-anaknya, dia telah meninggalkan Iraq untuk melarikan diri daripada ISIS. Sekarang dia tinggal bersendirian di Jordan sebagai seorang pelarian.

Tetapi terdapat satu sinar pengharapan. Dia mempunyai seorang sepupu yang tinggal di Kanada yang menawarkan bantuan kepadanya untuk mendapatkan pekerjaan. Teruja, dia memohon visa dan mula mengimpikan satu kehidupan yang lebih baik. Akhirnya, setelah menunggu beberapa tahun, dia dibenarkan masuk ke Kanada. Abdul-Malek sangat gembira!

Tetapi kegembiraannya tidak berpanjangan. Setelah tiba di Kanada, dia mendapati bahawa kehidupan selepas berhijrah sebenarnya tidak mudah. Pekerjaannya membuatkan dia berdiri sepanjang hari. Jiran-jirannya bising. Pengangkutan awam tidak mudah untuk difahami—dan begitu juga dengan bahasa Inggeris! 

Abdul-Malek sentiasa mengimpikan untuk pergi ke tempat yang lebih baik, tetapi apabila dia tiba, dia mendapati hatinya masih menderita. Dia mula tertanya-tanya jika kerinduan yang dia rasakan boleh dipenuhi di mana-mana tempat di bumi—atau dia perlu menunggu sehingga Syurga datang!

Berhijrah ke Syurga

Pernahkah anda merasakan seperti Abdul-Malek? Keinginan untuk mendapatkan satu tempat yang lebih baik ini ditanam dalam hati manusia dan hanya boleh dipenuhi dengan memasuki Syurga, rumah kita yang sebenar. Dan ia adalah satu keinginan yang tidak lama lagi dapat dipenuhi! Tanda-tanda Akhir Zaman sedang berlaku di depan mata kita, dan dunia ini akan segera berakhir.

Selama berabad-abad, buku-buku keagamaan orang Yahudi, Kristian, dan Islam semuanya telah meramalkan kiamat—ambang klimaks apabila kita “berhijrah” dari dunia ini ke akhirat. Ketiga-tiga kepercayaan ini menunjuk kepada seorang tokoh Mesias yang akan bertanggungjawab bagi kemuncak peristiwa-peristiwa akhir ini.  

Menariknya, tokoh Mesias dalam agama Kristian dan Islam tidak lain dan tidak bukan ialah Yesus Kristus, yang juga dikenali sebagai Isa al-Masih. Dia adalah Mesias ketika dia hidup di Palestin, tetapi dia telah tinggal di Syurga selama 2,000 tahun yang lalu. Dia akhirnya akan kembali pada Hari Penghakiman terakhir. 

Kedatangan Yesus Kristus disebut dengan meluas sekali dalam Alkitab, tetapi umat Islam juga mempercayai bahawa dia akan datang kembali, kerana ia tertulis dalam Al-Quran: “Dan sesungguhnya Nabi Isa (Yesus) menjadi tanda kedatangan hari kiamat (Hari Penghakiman), maka janganlah kamu ragu-ragu tentang itu (hari kiamat), dan turutlah; inilah jalan yang lurus” (Az-Zukhruf 43:61).

Sama seperti seorang pegawai imigresen yang memberikan panduan penting mengenai cara untuk mendapatkan visa, Yesus Kristus menjemput kita untuk memberikan perhatian kepada Tanda Kedatangan-Nya agar kita tahu Jalan Lurus ke Syurga. 

Apakah yang Yesus Katakan Mengenai Syurga?

Kitab Injil mencatatkan bahawa Yesus Kristus berkata, “Aku akan pergi menyediakan tempat untukmu. Jika Aku pergi dan menyediakan tempat untukmu, Aku akan pulang dan membawamu ke tempat-Ku, supaya di tempat Aku berada di situ juga kamu berada.” (Kitab Injil, Yohanes 14:2, 3). Yesus Kristus berkata bahawa dia boleh membawa kita ke Syurga! 

Dia juga telah menyatakan beberapa gambaran indah mengenai tempat itu. Dia mengatakan bahawa

  • Tiada lagi kematian, kesedihan, tangisan, atau kesakitan (Wahyu 21:4).

  • Kita akan mempunyai rumah-rumah yang indah (Yohanes 14:2).

  • Kedua-dua lelaki dan perempuan akan mempunyai martabat dan hak yang sama (Galatia 3:28).

  • Ia dipenuhi dengan terang, kebenaran, dan kegembiraan (Wahyu 21:21-25).

Sememangnya, ini adalah tempat yang dirindukan oleh hati kita! 

Mengapakah Yesus Kristus Datang untuk Kali Kedua

Tuhan telah mengutuskan ramai nabi dan rasul yang suci. Mengapakah Yesus Kristus dipilih untuk kembali buat kali kedua? Soalan ini mudah untuk dijawab dengan ilustrasi penghijrahan yang sama. Kerana untuk mendapatkan visa bukanlah mudah, ramai orang mengupah seorang peguam imigresen, yang mengetahui caranya. Jika kita mempunyai seorang pembimbing, kita boleh mempercayainya untuk menolong kita.

Sedemikian, Yesus Kristus adalah satu-satunya yang akan kembali untuk kali kedua kerana dia mengetahui jalan ke Syurga dan boleh membawa kita ke sana. Dia sendiri berkata, “Akulah jalan, kebenaran dan hidup.” (Yohanes 14:6).

Setiap nabi dan rasul yang telah diutus oleh Tuhan telah melakukan kesilapan dan terpaksa memohon pengampunan. Tetapi bukan Yesus Kristus. Dia tidak berdosa selama 33 tahun kehidupannya di bumi. Inilah kenapa dia serta merta diangkat ke Syurga. 

Kita harus mempelajari daripada Yesus Kristus, satu-satunya yang tidak berdosa, bagaimana memenuhi syarat-syarat untuk masuk ke Syurga. Hanya dengan cara ini kita boleh bersikap positif sepenuhnya terhadap kemasukan kita. Syukur, kita boleh belajar daripada bukunya, Alkitab. 

Bersedia untuk Kedatangan Yesus Kristus

Bukankah menarik bahawa anda boleh memastikan penghijrahan anda ke satu tempat yang lebih baik? Anda dijemput untuk menjadi warga kerajaan Tuhan yang mulia di Syurga! Tidak lama lagi Yesus Kristus akan datang untuk membawa kita semua ke tempat yang indah itu.

Adakah mungkin anda sedang mengikuti umat manusia yang mana mereka sendiri tidak mengetahui apa yang akan terjadi kepada mereka pada Hari Penghakiman? Dengan Yesus Kristus, anda tidak perlu ragu. Mintalah Tuhan untuk membimbing anda ke Jalan Lurus Yesus Kristus. Anda boleh membuat permintaan seperti ini:

Ya Tuhan, hati saya merindukan satu tempat yang lebih baik. Tolong selamatkan saya dan orang yang saya sayangi daripada kesukaran dunia ini. Saya percaya masa adalah singkat. Tolong berikan saya bimbingan agar saya dapat memasuki ke tempat indah yang engkau telah sediakan untuk saya. Amin.

Jika anda ingin mendapatkan salinan buku Injil, sila hubungi kami melalui maklumat di belakang kertas ini.

Al-Quran Terjemahan Melayu.Copyright © 2023 by Sharing Hope Publications. Tulisan boleh dicetak dan dikongsikan untuk tujuan bukan komersial tanpa kebenaran.
Ayat Alkitab diambil dari Alkitab Berita Baik®. Hak Cipta © 1996 oleh The Bible Society of Malaysia. Digunakan dengan kebenaran. Hak cipta terpelihara.

Daftar untuk surat berita kami

Jadilah orang pertama yang mengetahui apabila penerbitan baru tersedia!

newsletter-cover